Siapa EA?

Piala FA menjadi trofi kemenangan terakhir yang dimiliki Pahang pada tahun 2006. Selepas itu, dengan penghijrahan keluar para pemain berstatus ‘bintang’, maka bermulalah ‘era gelap’ bagi Pahang. Juara 2 kali Piala Malaysia ini hanya mempertaruhkan barisan pemain-pemain muda. Disaat penyokong-penyokong Pahang dahagakan kemenangan, mereka disogokkan pula dengan kekalahan demi kekalahan, menyebabkan Pahang hampir-hampir diturunkan ke Liga Perdana (tingkat kedua Liga Malaysia).

Maka timbullah kesedaran bahawa pemain-pemain muda ini perlu mendapat sokongan yang berterusan dari para penyokong negeri Pahang itu sendiri. Dan seolah-olah memberi jawapan kepada permasalahan ini, budaya sokongan oleh penyokong-penyokong tegar atau lebih dikenali sebagai ultras pula wujud. Dicetuskan oleh Ultras Malaya, ia  seolah-olah memberi inspirasi kepada kami untuk menerapkan budaya sokongan sebegini di Stadium Darul Makmur.

Maka wujudlah Elephant Army Ultras, ultras Pahang yang telah dirancang penubuhannya sejak 3 Februari 2010 lagi. Elephant Army Ultras telah membuat penampilan sulung di Stadium Darul Makmur pada perlawanan pertama pasukan Pahang didalam saingan Liga Super musim 2011 dan sejak itu, kumpulan ultras negeri Pahang ini terus setia memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan negeri mereka.
Menjadikan Gate 11 sebagai kawasan berkumpul didalam stadium (Curva), mereka sentiasa menghadirkan diri dalam setiap perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka di Stadium Darul Makmur atau dimana-mana stadium-stadium ditempat lawan. Mereka bersorak (chanting) sepanjang perlawanan, membuat tifo, chorteo dan lain-lain sebagai membakar semangat juang pemain-pemain Pahang. Bagi mereka apa pun keputusan melibatkan pasukan kesayangan mereka, mereka tidak peduli. Kerana cinta mereka kepada negeri mereka mengatasi segala-galanya.

Sokongan mereka tidak hanya untuk pasukan negeri, mereka juga hadir disetiap perlawanan melibatkan Malaysia sebagai Ultras Malaya. Mencurahkan rasa cinta mereka di Curva 1Q Stadium Bukit Nasional Bukit Jalil dengan sokongan tanpa henti apabila Harimau Malaya turun beraksi.

Pada 1 Disember 2011, Elephant Army Ultras telah dinamakan semula dengan Elephant Army (EA) dan terus kental menyokong Pahang sampai mati!