Thursday, 9 February 2012

Ada apa dengan 3 Februari...

3 Februari 2010..
Cetusan idea mengenai penubuhan ultras Pahang mula dibincangkan secara serius.

3 Februari 2012..
Dua tahun selepas benih idea disemai, selepas mengharungi segala hujan panas ribut petir badai taufan, benih itu kini mula bercambah dan menjadi semakin matang. Ultras Pahang yang suatu masa dulu hanya terdiri dari beberapa orang komrad sahaja kini mula mengumpul jiwa-jiwa ultras yang semakin ramai untuk bersama Pahang. Dan kini, dengan kekuatan yang kita ada sekarang, Elephant Army akan terus mara dan bersama skuad Tok Gajah walau kalah atau menang.

Dihari ulang tahun penubuhan EA yang ke-2 tanggal 3/2/2012 yang lalu, satu perlawanan penting melibatkan pasukan Pahang akan berlansung. Perlawanan itu adalah diantara Pahang menentang ATM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan ia dianggap 'clash of the titans' dalam Liga Primier. Dengan semangat yang berkobar-kobar dalam jiwa setiap komrad untuk match besar ini dan semangat untuk Pahang mendapat 3mata penuh sebagai hadiah hari ulangtahun kami, satu konvoi awaydays dirancang oleh kami. Stadium MBPJ akan kami jajah tanpa belas kasihan. Gajah akan merempuh kereta kebal askar-askar yang taknak berperang tapi tau nak main bola saje.

Konvoi bermula dari Kuantan pada kira-kira pukul 1.00 pm. dan hentian pertama kami adalah di tol Temerloh untuk menunggu beberapa buah kenderaan komrad yg lain dari situ.

ku menunggumu di Tol Temerloh
Dua buah van dan sebuah kereta terus menyusuri Lebuhraya Pantai Timur. Bendera Pahang diletak disisi setiap kenderaan yang berkonvoi. Penat lelah beberapa orang komrad yang baru balik kerja (kerja separuh hari pastu cabut) diketepikan begitu sahaja oleh semangat yang bukan main luar biasa dia punya berkobar-kobar. Konvoi seterusnya berhenti di Hentian Genting Sempah untuk berehat seketika, minum, makan, tukar baju kerja dan disini, sesuatu yang gila diluar norma masyarakat berlaku. Sebelum meneruskan perjalanan, kami semua berkumpul dikawasan letak kereta dan mengejutkan setiap individu yang berada disitu dengan chant kami.

Orang sekeliling kelihatan mengalami kejutan budaya. Kegilaan apakah yang mereka bawa ini dengan drum, bendera dan menyanyi tanpa henti? Tujuan kami tidak lain tidak bukan adalah untuk memalu gendang perang supaya semua orang disitu tahu bahawa pasukan Pahang ada perlawanan penting pada malam itu. Dikawasan kami menggila juga kelihatan beberapa buah bas dan trak membawa kumpulan askar (mungkin nak kestadium jugak) tetapi itu tidak sekali-kali menggentarkan kami. Malah kami makin semangat bertemu askar-askar penyokong ATM ini.

kami chant, kami menggila, kami ok
Dari Genting Sempah, beberapa buah kenderan komrad lagi mula berkumpul dan bergerak bersama. Kira-kira 2 buah van dan 10 buah kereta bersama kami dalam konvoi ini. Ini merupakan konvoi awaydays terbesar sejak penubuhan EA. Konvoi berhenti sekali lagi di Hentian Gombak untuk menunggu beberapa buah kenderaan lain lagi. Di Hentian Gombak, salah seorang komrad kita yang juga seorang Marshall membawa perkhabaran gembira buat semua. Sesuatu yang tidak pernah kami alami akan menanti di Tol Gombak.

taklimat ringkas dari encik-encik polis pengiring
4 orang polis pengiring dan marshall menanti kami di Tol Gombak. Kami tiba disana kira-kira pukul 6.00pm dan keadaan trafik di KL sudah pasti sesak dengan orang ramai balik kerja dan balik kerumah. Kehadiran polis & marshall itu adalah untuk membantu kelancaran perjalanan kami ke Stadium MBPJ. Buat pertama kalinya kami rasa diri ini seperti VVIP lagaknya apabila diiringi polis & marshall pengiring. Semua kenderaan memberi laluan kepada kami dan mereka seakan terpinga-pinga melihat konvoi yang panjang dan mengibarkan bendera Pahang disetiap kenderaan. Kami agak pasti mereka meneka bahawa pemain bolasepak Pahang yang berada didalam konvoi itu. Kami rilex dan tenang apabila orang ramai merenung kami dari dalam kenderaan mereka. 'Buat muka player Pahang'. Ya itu pegangan kami ketika itu.

Konvoi kami tiba di Stadium MBPJ kira-kira pada pukul 7.00pm. Kami melakukan corteo dan berarak masuk kedalam stadium selepas membeli tiket (yg ada cabutan bertuah katanya).

kami turun ke MBPJ, satu jiwa sokong TOK GAJAH
Kami mengambil tempat didalam stadium dan mula chant. Perlawanan yang dijangka sengit itu sememangnya sengit dengan permainan baik dari kedua-dua pasukan. ATM menjaringkan gol pertama, Pahang menjaringkan gol penyamaan, ATM menjaringkan gol kedua, Pahang menjaringkan gol penyamaan. Kedua-dua pasukan seolah-olah berbalas pantun sehingga separuh masa pertama tamat. Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan terus berlansung rancak dan kami juga tidak kurang rancaknya di curva. Nasib tidak menyebelahi Pahang apabila pada minit ke 83, ATM menjaringkan gol kemenangan mereka. 3mata penuh yang diharap dapat dibawa balik ke Temerloh tidak berjaya dicapai. Walaubagaimanapun semangat juang pasukan sememangnya tinggi begitu juga dengan semangat juang komrad kita semua. Chant tetap diteruskan sehingga keluar stadium. Terima kasih diucapkan kepada jeneral-jeneral tertinggi Ultras Malaya yang turut bersama-sama kami di dalam stadium demi menyokong bolasepak tempatan.


sedutan perlawanan ATM vs Pahang. Kredit: AstroArena

aksi EA di Stadium MBPJ

sedutan rakaman aksi EA. Kredit: MrGear05

Selepas tamat segala-gala kegilaan malam itu, sebahagian komrad mula membawa diri pulang ke tempat masing-masing dan sebahagian lagi komrad menyambung kegilaan dengan bermain futsal di Subang Jaya. Terima kasih diucapkan kepada TGCKL yang sudi menganjurkan futsal main suka-suka release tension ini. Permainan tamat lebih kurang pada pukul 2.30am. Acara pada malam itu tidak habis begitu saja. Satu surprise daripada salah seorang komrad kita membawa kek untuk upacara sambutan ulangtahun penubuhan EA. Sebuah kek yang amat unik.

kek coklat EA
upacara memberi ucapan, membaca doa, memotong kek, memakan kek

Kek coklat moist EA memang sedap. Terima kasih kepada membuat & penaja kek itu. Jika anda berminat untuk menempah, anda boleh hubungi kami dan kami akan sampaikan pesanan itu kepada bakery berkenaan. Selepas habis berfutsal dan melicinkan kek, kami semua bergerak ke sebuah kedai mamak untuk mengisi perut dengan makanan yang lebih serius sambil bersembang-sembang merapatkan lagi ukhwah silaturrahim. Kami mula bertolak balik ke Temerloh & Kuantan pada pukul 4.30am. Dia punya letih pagi tu sampai plan nak stop mandi kejap kat Petronas Bentong pun tak jadi.

Sememangnya tarikh 3 Februari 2012 akan menjadi satu lagi tarikh penting dalam diri komrad-komrad kita. Semoga kenangan indah kita bersama dalam awaydays kali ini akan diingati untuk diceritakan kepada generasi-generasi akan datang. Kepada semua komrad EA - SALUTE!!!

keadaan kek yang diratah rakus tidak dapat diselamatkan lagi


-45-

Wednesday, 8 February 2012

Pahang vs Johor

PAHANG (2) - (0) JOHOR
7/2/2012
Stadium MP Temerloh

kredit video: Sokernet.com

Pahang kembali menemui rentak kemenangan setelah tewas ditangan ATM sebelum ini. Semoga perlawanan ini menjadi titik tolak kebangkitan skuad Tok Gajah untuk terus berada di puncak Liga Primier dan seterusnya kembali ke Liga Super. Kedua-dua gol cantik pasukan Pahang telah dijaringkan oleh pemain bernombor 12 kita, Azamuddin Akil (Alex). Pujian yang tinggi harus diberikan kepada penyokong Pahang yang memenuhi segenap ruang Stadium MP Temerloh walaupun perlawanan tadi disiarkan secara langsung di RTM 1. Tahniah juga diucapkan kepada komrad kita yang telah datang dari seluruh pelusuk Pahang untuk bersama-sama di teres kita. HITAM PUTIH TAKKAN PADAM.


-45-

Friday, 3 February 2012

Perlawanan Tumpuan Liga Perdana

gendang perang provokasi visual telah dipalu

ATM vs PAHANG
STADIUM MBPJ
03/02/2012 (JUMAAT)
8.45PM




keputusan: ATM (3) - PAHANG (2)

Thursday, 2 February 2012

Cerita sebenar disebalik artikel akhbar mengenai EA

Dalam artikel sebelum ini, kami ada mengeluarkan kenyataan menafikan apa yang ditulis didalam segmen Sahabat Ultras, akhbar Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2012. Segmen berkenaan telah mengundang kontroversi dan salah faham dari pelbagai pihak. Hari ini kami dihubungi oleh wartawan yang menemuramah kami untuk segmen itu dan beliau meminta maaf serta memberi penjelasan sebenar disebalik segala yang telah tersebar.

salam adik, kak t br tertengok kt blogspot EA tu td...sedihla bila org mrh2pasal artikel yg kak ti buat tu coz mmg kak t xde niat nak laga2 sesiapa.so kak t nk minta maaf berbanyak n sini kak t foward the real articles yg kak t buat before kene edit mcm tu...
RUANGAN ULTRAS SINAR

H:”TOK GAJAH DI HATI KOI” pegangan azimat EA

ROSILAWATI ROSEDI

“Hitam Putih Takkan Padam” itu tagline bagi Elephant Army (EA) bagi Ultras Pahang yang sehati sejiwa memberikan sokongan padu serta tegar buat pasukan negeri, Tok Gajah.Mula dikenali dengan EA Ultras dan dinamakan semula EA pada 1 Disember tahun lalu, kehadiran mereka mula mendapat perhatian penyokong bola sepak di sini.

Ikuti temubual Ultras Sinar bersama EA untuk mengetahui sejarah serta objektif penubuhannya selain harapan mereka terhadap sukan bola sepak Pahang.

Ultras Sinar: Boleh ceritakan sedikit mengenai penubuhan EA dan objektifnya?
EA: Sebenarnya EA telah dirancang penubuhannya sejak 3 Februari 2010 lagi.Sejak Ultras Malaya (UM) dicetuskan, ia memberikan inspirasi kepada kami untuk menerapkan budaya sokongan padu kepada pasukan negeri.Buat pengetahuan, sokongan orang kuat dari UM yang juga orang Pahang turut membantu untuk kami mewujudkan EA.
Kami mula membuat penampilan sulung di di Stadium Darul Makmur pada perlawanan pertama pasukan Pahang dalam saingan Liga Super musim lalu dan sejak itu, EA ini terus setia bersama memberikan sokongan pada Tok Gajah.

Ultras Sinar:Boleh ceritakan keunikan EA berbanding ultras lain?
EA: Setiap ultras mempunyai perbezaannya namun berpaksi atas fokus sama, memberikan sokongan padu terhadap pasukan negeri masing-masing.Tak kira keputusan perlawanan, kami tetap berdiri teguh di belakang pasukan sokongan.Kami juga tidak panggil ini sebagai kelab penyokong sebaliknya berkumpul atas semangat persaudaraan malah boleh dikatakan sebelum ini kami langsung tidak saling mengenali namun minat dan sokongan terhadap pasukan bola sepak Pahang menyatukan kami semua.
Kami mempunyai ‘chant’ (nyanyian semangat) yang menggunakan loghat daerah dan ini memberikan keunikan kepada EA dan ini juga menarik minat penyokong yang hadir untuk turut serta menyanyi bersama dan menambahkan lagi kehangatan sokongan di dalam stadium.Setakat ini kami mempunyai 20 koleksi "chant".

Ultras Sinar: Bagaimana pembabitan ahli yang menyertai EA setakat ini?
EA: Setakat ini kami mempunyai 98 ahli meliputi pelbagai daerah seperti Jerantut,Temerloh, Lipis dan Kuantan sendiri yang berusia 14 hingga 40 tahun dengan pelbagai latar belakang, pelajar dan professional.
Sebenarnya mudah saja untuk menyertai kami, hanya cari kami di stadium kalau di Stadium Darul Makmur, kami akan menjadikan Gate 11 sebagai kawasan berkumpul di dalam stadium.Setiap kali ingin berjumpa yang kami gelarkan “komplot”, akan ada perbincangan, idea dan bertukar maklumat serta idea mencipta ‘chant’, banner dan perancangan program lain.
Bagi mereka yang betul-betul berminat menyertai EA, hanya layari Facebook, Elephant Army ataupun elephantarmy.blogspot bagi mengetahui segala aktiviti dan tiada yuran ataupun borang.

Ultras Sinar: Sebagai ultras, tentunya memerlukan banyak aktiviti, kos untuk melaksanakan segala aktiviti, jadi bagaimana EA menyelesaikan isu-isu sebegini
EA: Sebab itu dari mula kami tekankan semangat persaudaraan, jadi segala aktiviti yang ingin dijalankan akan dilaksanakan bersama.Contohnya, bagi latihan ‘chant’ membuat banner, kami akan berkumpul sebelum sehari perlawanan di Tasik Bandar, Indera Mahkota selepas tamat waktu kerja.Untuk kos dan perbelanjaannya, kerana minat mendalam, semuanya dikongsi bersama menggunakan wang sendiri.

Ultras Sinar:Adakah EA turut mempunyai aktiviti lain selain hadir memberikan sokongan di stadium?
EA:Kami juga aktif dalam sukan futsal untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan. UM pernah menganjurkan kejohanan yang disertai semua Ultras negeri, Pada edisi pertama, kami tidak dapat menyertainya namun pada edisi kedua di Kelantan tahun lalu, EA muncul juara manakala di edisi ketiga, sepatutnya EA menjadi tuan rumah namun atas sebab-sebab tertentu, kejohanan berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun ini.

Ultras Sinar: Sebagai penyokong tegar Pahang, bagaimana EA melihat pasukan negeri yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini?
EA:Situasi ini sebenarnya ada hikmahnya kerana kalau kita lihat, sebelum ini sokongan peminat agak pudar namun sejak Pahang beraksi dalam Liga Perdana musim ini, sokongan dan kehadiran penonton di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) semakin meningkat.Ini memberikan kelebihan buat pemain Pahang untuk beraksi dengan lebih bersemangat.

Ultras Sinar: Apakah pesanan EA buat mereka yang ingin menyertai EA dan perancangan seterusnya?
EA:Pesanan kami, mereka yang ingin menyertai EA atau mana-mana Ultras, kena ada jiwa dan minat bukan kerana inginkan nama dan populariti memandangkan UM semakin dikenali.Tidak kira pasukan sokongan anda kalah atau menang, sokongan padu dan kesetiaan itu perlu ada dari awal hingga tamatnya permainan, di dalam atau luar, Tok Gajah tersemat di hati ataupun senang cakap, “Tok Gajah di Hati Koi”.
Perancangan selepas ini, kami bakal turun ke stadium untuk memberikan sokongan dan gegaran dalam perlawanan yang ditunggu-tunggu, Pahang menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 3 Februari depan di Stadium Petaling Jaya.Tunggu saja kehadiran EA dan pastinya, EA akan terus bersorak menyokong padu Pahang dari wisel bermula dan penamatnya.

Kami EA memaafkan perkara ini dan berharap segala kekeruhan yang berlaku dapat dijernihkan. Semoga ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak.